Sabtu, 21 April 2012

Gajet dedah risiko jenayah

GAJET peribadi yang berteknologi tinggi seperti telefon, iphone, notebook dan sebagainya antara peranti yang memberi kemudahan dalam kehidupan harian pengguna.
Namun gajet-gajet ini juga mempunyai kelemahan. Selain mengehadkan interaksi secara bersemuka, ia juga berkompromi dengan keselamatan data peribadi.
Misalnya, apabila seseorang kehilangan gajet berkenaan, mangsa bukan setakat kehilangan gajet malah maklumat peribadi seperti nombor pin, alamat, gambar dan data peribadi lain yang disimpan di dalamnya.
Pemilik gajet berkenaan juga terdedah kepada unsur-unsur jenayah. Apabila data peribadi pemilik gajet diperoleh penjenayah, mereka bukan sahaja boleh mengeluarkan wang pemilik daripada akaun bank atau untuk tujuan ugutan, malah mereka boleh terpacul di depan pintu rumah pemilik gajet.
Gajet mudah alih ini juga mudah jatuh ke tangan mereka yang tidak diingini jika pemiliknya lalai.
Tambahan pula, kemudahan Internet Wifi percuma yang disediakan di sesetengah restoran, akan menggalakkan orang ramai membawa komputer bimbit masing-masing dan duduk dalam jangka masa yang lama bersama-sama rakan sehingga dinihari.
Golongan ini kebanyakannya terdiri daripada remaja dan pelajar yang pada mulanya mahu membuat tugasan. Namun, kemudahan Internet secara percuma itu boleh mengundang malapetaka kepada mereka sendiri dan pemilik restoran.
Misalnya, klip video kamera litar tertutup sebuah restoran mamak terkemuka di Shah Alam mendedahkan, rompakan yang berlaku pada tahun lalu itu disebabkan kecuaian pemilik gajet yang menggunakannya di tempat awam.
Ambil mudah
Bukan itu sahaja, sikap sesetengah individu yang suka meletakkan telefon bimbit di atas meja makan di restoran, beg di kedai makan atau di kerusi di hotel ketika majlis berlangsung atau mengambil makanan tanpa perhatian juga mengundang jenayah.
Tempat letak kereta juga adalah kawasan paling tidak selamat. Namun, masih ramai pemilik kenderaan yang meninggalkan gajet seperti seperti notebook dalam kenderaan.
Sikap ambil mudah dengan meninggalkan barang-barang berharga ataupun beg di dalam kereta perlu diubah. Jika tidak, kita mungkin berdepan dengan cermin tingkap kereta pecah dan terpaksa menggantikannya pada harga sehingga ratusan ringgit.
Begitu juga dengan mendaftar nama isteri atau suami dengan gelaran manja seperti sayang atau ayang di dalam telefon bimbit. Seandainya telefon dicuri, ia memberi ruang kepada si penjenayah mengirim khidmat pesanan ringkas kepada suami atau isteri. Lalu mereka meminta kata laluan atau nombor pengenalan diri (PIN) untuk mengeluarkan wang dari mesin juruwang automatik (ATM).
Pengurusan risiko
Masyarakat perlu bijak mengurus risiko-risiko ini dengan baik bagi mencegah mereka daripada menjadi mangsa.Masyarakat tidak sepatutnya bergantung kepada pihak polis tetapi perlu mengambil inisiatif sendiri.
Kalau kita mengambil sikap sambil lewa, kita wajar menyalahkan diri sendiri,” 
Orang ramai juga dinasihati supaya tidak memasukkan semua maklumat peribadi di dalam telefon bimbit kerana ia boleh mengundang bahaya sekiranya hilang, tercicir atau dicuri.
“Keengganan melihat diri sendiri menjadi mangsa. Ini perlu diperbetulkan. Siapa tahu kelak kita sendiri akan menjadi mangsa, komputer riba kita pula yang dirompak,” 
Pada masa yang sama, masyarakat perlu melaporkan kepada pihak polis jika ada pihak-pihak yang cuba menjual telefon bimbit, komputer bimbit pada harga yang sangat murah dan sukar diterima akal kerana ada berkemungkinan ia barang curi.
Membeli barang curi adalah satu kesalahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan