Selasa, 8 Mei 2012

Zulfahmi yakin naiki podium




MESKIPUN dihimpit rasa kecewa gagal menaiki podium sekali gus melakar sejarah untuk negara, pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin yang menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat di Litar Estoril kelmarin yakin impian menjejakkan kaki di pentas podium bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Zulfahmi mempamerkan tunggangan meyakinkan kelmarin apabila melepasi garisan penamat di kedudukan keempat selepas bermula di petak kelima, namun paling mencuri tumpuan ialah aksi beraninya bersaing dengan pelumba handalan dunia sepanjang perlumbaan itu.

Pada satu ketika, anak muda kelahiran Banting, Selangor itu berjaya menduduki tempat ketiga, namun ketika pusingan terakhir, dia melakukan sedikit kesilapan dan terpaksa menyerahkan posisi itu kepada pelumba Sepanyol, Luis Salom.
“Sudah tentulah kesilapan itu mengecewakan saya tetapi tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Saya hanya akan terus mencuba yang terbaik selepas ini.

“Apapun, saya sangat gembira kerana menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat. Walaupun gagal menaiki podium, ia adalah satu pengamalan yang amat berharga kepada saya kerana dapat bersaing dengan pelumba di barisan hadapan.

“Saya yakin akan dapat menaiki podium satu hari nanti. Terima kasih kepada semua penaja dan pasukan yang bekerja keras untuk menghasilkan jentera yang baik untuk saya,” katanya.
Ia adalah penamat terbaik sepanjang karier Zulfahmi dalam kancah MotoGP selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam di Grand Prix Qatar, awal bulan lalu.

Dengan kejayaan terbaru itu, Zulfahmi yang mewakili pasukan AirAsia-SIC-Ajo kini menduduki tempat kelima kedudukan pelumba keseluruhan dengan mengumpul 29 mata. ~ myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan