KUALA LUMPUR 2 April – Pemandu kereta yang dikecam ramai kerana menyebabkan kematian seorang ahli Kelab Basikal LeTua, Rafizi Hamdan dalam satu kejadian langgar lari di Jalan Lingkaran Tengah 2, dua minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini.
Mohd. Nabil Azhar Yahya Arif, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman atas tuduhan memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian Rafizi, 37.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Lingkaran Tengah 2, Hulu Kelang, Ampang Jaya, di sini pada pukul 7.45 pagi, 18 Mac lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RN20,000, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, mangsa yang bekerja sebagai kerani bank dilaporkan dilanggar sebuah kereta Proton Saga dipandu oleh tertuduh ketika dalam perjalanan ke Hospital Orang Asli Batu 12, Gombak untuk menyertai aktiviti berbasikal bersama ahli kelabnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Eliana Ismail mencadangkan wang jaminan RM10,000 selain memohon mahkamah menggantung lesen memandu tertuduh.
Lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon wang jaminan dikurangkan atas alasan dia tidak bekerja dan masih ditanggung oleh bapanya yang uzur.
Noor Farah Hazwani kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandunya digantung sebelum menetapkan 21 Mei depan untuk sebutan semula kes. Tertuduh dibebaskan selepas bapanya yang hadir ke mahkamah dengan bertongkat membayar wang jaminan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan